Dari segi sejarah, Perlis adalah negeri di bawah naungan negeri kedah. Bukti-bukti pra-sejarah yang terdapat di Bukit Tengku Lembu di Beseri menunjukkan kewujudan negeri ini. Tempoh selepas pra-sejarah menunjukkan pengaruh ideologi Islam yang mengambil alih pengaruh Hindu dan Budha pada akhir abad ke-12 kerana berdasarkan cara hidup masyarakat tempatan.

Ideologi ini juga dipengaruhi oleh sultan Kedah yang menunjukkan imej negeri tersebut. Terdapat beberapa pendapat yang berlainan mengenai sejarah pembentukan negeri Perlis. Menurut Ahmad Ismail dan YB Dato' Yazid bin Mat dalam buku mereka iaitu "Negeri Perlis Indera Kayangan : Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat" nama Perlis diambil dari nama pokok iaitu "Pokok Perlis". Ketika itu, jajahan Perlis adalah di tenggara sempadan Satun, di barat daya daerah Kubang Pasu, bertentangan dengan Selat Melaka dibarat, di timur laut Songkhla. Namun terdapat fakta sejarah bahawa kawasan jajahan negeri Perlis sebenarnya lebih luas dari itu.

Pendudukan Siam ke atas Kedah dan jajahannya pada tahun 1821 menyebabkan serangan dan tindakbalas penduduk tempatan secara besar-besaran, akhirnya telah membawa kepada pengunduran Siam dan penyerahan kuasa mentadbir kepada pembesar tempatan bagi mentadbir Kedah, Setul, Kubang Pasu dan Perlis.

Bagi negeri Perlis, Raja Long Krok dilantik sebagai Gabenor, manakala Syed Hussin Jamalullail sebagai timbalannya. Detik ini, merupakan detik bersejarah bagi negeri Perlis yang telah mendapat pengiktirafan dari status tanah jajahan kepada status sebuah negeri naungan.

 

Bendera Negeri

 

Jalur berwarna kuning - mengambarkan pemerintahan beraja. Jalur berwarna biru - mengambarkan rakyat jelata. Paduan warna ini menunjukkan hubungan erat antara Raja dan Rakyat .

Lagu Negeri

Amin amin Ya Rabaljalil

Doa Hamba Yang Sangat Zalil

Tinggikan Daulat serta Adil

Kekal Perintah Jamalullail

Lambang Negeri

 

Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.

Beduan

Beduan merupakan persembahan kesenian yang tertua di negeri Perlis. Kesenian ini tumbuh dan berkembang kira-kira 250 tahun yang lalu. Lazimnya, beduan dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan. Ahli kumpulan beduan terdiri daripada 8 orang. Mereka memukul gendang sambil menyanyi. Gendang-gendang Beduan agak besar. Terdapat 3 jenis gendang iaitu 'Pengibu','Peningkah' dan 'Penganak'. Dalam nyanyian Beduan mereka akan berbalas pantun.

Alu Bunyi

Alu Bunyi ialah persembahan kesenian yang kedua tertua di negeri Perlis. Kesenian ini muncul dikalangan petani yang mengerjakan sawah. Lesung dan Alu yang digunakan untuk menumbuk padi, dijadikan alat muzik yang mengeluarkan bunyi dan irama yang tersendiri. Tradisi ini biasanya dipersembahkan ketika musim menuai padi. Dalam temasya tersebut juga terdapat aktiviti menumbuk 'emping' dan 'ringgi'.  Lesung alu diperbuat daripada kayu temak manakala alu pula diperbuat daripada kayu tui. Ia menjadi hiburan kaum petani dan juga memanggil 'semangat padi' suatu ketika dahulu. Semangat padi ini dipercayai akan menghalang musuh padi seperti tikus, burung dan ketam dari merosakan padi mereka, maka makmurlah hasil padi.

Gendang Tarinai

Gendang Tarinai merupakan kumpulan muzik tradisional Perlis. Kesenian ini begitu popular suatu ketika dulu dari kalangan rakyat hingga ke istana raja. Kini, muzik tradisional ini masih diminati ramai khususnya untuk dimainkan dalam majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian. Kumpulan muzik Gendang Tarinai lazimnya terdiri daripada 5 orang iaitu dua orang akan memukul gendang panjang, seorang meniup serunai dan seorang memukul dua biji gong. Lagu-lagu yang sering dipersembahkan terutamanya di majlis perkahwinan adalah lagu-lagu melayu asli seperti : Anak Tiung, Cinta Sayang, Gong Panjang.

Awang Batil ialah Penglipurlara yang hanya terdapat di negeri Perlis. Awang Batil menggunakan batil(bekas isi air yang diperbuat dari tembaga) sebagai muzik iringan. Suatu ketika dahulu Awang Batil akan mengembara dari sebuah kampung ke sebuah kampung yang lain untuk mempersembahkan cerita-ceritanya terutamanya dirumah kenduri perkahwinan. Awang Batil banyak mempusakai cerita-cerita rakyat. Dalam cerita-cerita yang disampaikan akan diselang selikan dengan jenaka dan pada babak tertentu dia akan memakai topeng. Topeng ini diperbuat daripada kayu.

Tuk Selampit

Tradisi Selampit merupakan penglipurlara yang berpengaruh menghibur hati rakyat pada masa dahulu. Penglipurlara dikenali sebagai Tok Selampit. Ketika bercerita, Tok Selampit akan melakukan pelbagai aksi semasa bercerita termasuklah bersilat, menyanyi, berpantun dengan menggunakan bahasa berirama dan diiringi irama Selampit yang tersendiri.

Hadrah

Hadrah berasal dari perkataan 'hijrah' yang berunsurkan kesenian Arab. Hadrah lazimnya dimainkan dalam perarakan bersama-sama pengantin atau menyambut seorang pemimpin atau adanya sesuatu majlis keramaian. Kesenian ini juga begitu popular suatu ketika dulu, dipersembahkan diistana-istana sehingga menjalar ke kampung. Di negeri Perlis, kesenian yang dibawa oleh seorang tokoh Hadrah dari Pulau Pinang sekitar tahun 1910. Biasanya 4 orang lelaki akan dilatih dan diasuh supaya berlagak seperti wanita. Mereka akan mempersembahkan tarian dengan lemah-lembut mengikut rentak pukulan gendang. Semenjak awal 80an kesenian ini tidak lagi menggunakan penari kerana bertentangan dengan Agama Islam.

Berendoi

Berendoi merupakan kesenian berunsur Islam. Seramai 3 atau 4 orang akan berdikir atau menyanyi dengan irama berendoi dalam upacara bercukur seorang bayi yang berusia 7 hari. Biasanya buaian akan dihiasi indah. Bayi yang telah dicukur rambutnya dan dibelah mulutnya, bayi akan diletakan didalam buaian, maka mulalah nyanyian berendoi yang memuji Rasullullah