Sarawak

Negeri Sarawak atau juga dikenali sebagai Sarawak Bumi Kenyalang merupakan salah satu daripada 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Kedua-dua Sarawak dan Sabah yang terletak di pulau Borneo biasanya digolongkan bersama sebagai Malaysia Timur.Penemuan arkeologi seperti tulang manusia, tembikar, dan bekas perkuburan membuktikan bahawa manusia telah mendiami Sarawak sejak sebelum Masihi lagi. Sarawak dikatakan berada di bawah kekuasaan kerajaan Srivijaya pada kurun-10 hingga kurun-13, Penguasaan kerajaan Srivijaya ke atas wilayah pesisiran Sarawak telah membolehkan orang-orang Melayu dari Sumatera berhijrah dan menetap di kawasan pesisiran Sarawak. Orang melayu telah membuka penempatan mereka di Santubong yang merupakan antara pelabuhan entrepot terpenting di Nusantara. Ini telah dibuktikan dengan dengan penemuan bahan artifak seperti pasu zaman dinasti Han Cina di Santubong. Setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya pada kurun-13, Sarawak dikuasai oleh kerajaan Majapahit. Seorang putera Raja Majapahit iaitu Raden Menteri Dipati Jepang atau Datu Merpati Jepang telah berhijrah ke Sarawak pada kurun ke-15. Baginda telah berkahwin dengan Datu Permaisuri anak perempuan Raja Jarom Jawa di Johor sebelum berhijrah ke Sarawak. Daripada keturunan Datu Merpati Jepang, muncullah golongan bangsawan Melayu Sarawak yang bergelar Abang. Golongan Melayu perabangan Sarawak telah memegang jawatan terpenting seperti Datu Patinggi, Datu Temenggong, Datu Bentara pada zaman pemerintahan Brooke di Sarawak.